ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki warga Singapura yang berperanan sebagai runner ditahan dan merampas lebih satu kilogram dadah selepas melakukan serbuan di sebuah apartmen di Forest City di sini Rabu lalu.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan tersebut pada pukul 8.40 malam di apartmen itu yang merupakan kediaman berpagar dan berpengawal.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam serbuan berkenaan suspek yang berusia 39 tahun yang menyewa di situ diberkas.
Dalam serbuan tersebut polis merampas 1,715.23 gram heroin bernilai RM13,722 yang boleh digunakan untuk 1,700 penagih dan 67.13 gram syabu bernilai RM7,384 yang boleh digunakan untuk 145 penagih.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah RM21,106.32. Kita turut menyita satu kereta jenis Audi A5 warna hitam bernilai (RM32,000) dan satu jam tangan besi warna keemasan jenama Nixon (RM550).
“Jumlah keseluruhan rampasan sitaan RM32,550 manakala keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM53,656,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah dari negara ini sebelum menjadi runner dan mengedarkan bekalan bahan terlarang tersebut untuk pasaran luar negara.
Pihaknya, kata Kumarasan, masih menyiasat dalang di sebalik kegiatan tersebut dan suspek dipercayai sudah melakukan kegiatan tersebut sejak Julai tahun lalu.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan.
Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula 12 Februari hingga esok untuk membantu prose’s siasatan.- MalaysiaGazette