Datuk Mohamad Alamin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggariskan tiga keutamaan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan
cabaran geopolitik antarabangsa semasa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, ia akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi dengan berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan menggalakkan semua negara anggota bekerjasama bagi memperkasa perpaduan dan Kepusatan ASEAN.

“Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah serta
memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini.

“Pada masa sama, negara juga akan mempromosikan sebuah komuniti yang terangkum, mampan dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kualiti kehidupan.

“Ia juga bagi menangani impak perubahan iklim supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan oleh Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang meminta Menteri Luar menyatakan apakah langkah strategik
yang diambil oleh Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dalam mencapai tiga strategi yang ditetapkan iaitu pengukuhan rantaian nilai serantau, pengukuhan asas negara anggota serta penyelarasan dan penyusunan semula ekonomi negara-negara ASEAN.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) sama ada isu sindiket scam pekerjaan bakal menjadi tumpuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Mohamad berkata, isu itu antara fokus utama yang akan dibincangkan pada platform ASEAN pada tahun ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan mula dibincangkan pada wacana harmoni (retreat) Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here