KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) sedang berusaha untuk mengumpul derma bagi membantu anak-anak allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia, petang kelmarin.
Setiausaha Agung NUJ, Teh Athira Mohd Yusof menyifatkan bekas wartawan Kosmo itu sebagai seorang yang berjiwa besar dan pejuang.
Untuk rekod, allahyarham pernah berkhidmat sebagai Setiausaha NUJ-Utusan selama 12 tahun dari 2008 sehingga syarikat tersebut ditutup pada Oktober 2019.
“Allayarham ketika bertugas sebagai exco NUJM disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar memperjuangkan hak rakan-rakan di dunia kewartawan dan juga selepas penutupan Utusan.
“Ketika itu, beliau juga disokong rapat oleh isteri beliau, Noor Azlina Jaafar, bekas jurufoto Utusan.
“Kami ingin menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham, sahabat, dan seluruh warga Utusan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,
Allahyarham Muhammad Basir juga salah seorang penerima CSR ketika sambutan ulangtahun ke-62 NUJM baru-baru ini meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akibat masalah kesihatan kronik.
Terdahulu, isterinya isterinya Noor Azlina Jaafar yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan, telah meninggal dunia pada 17 Oktober 2023 akibat jangkitan kuman.
Pasangan tersebut meninggalkan tiga orang anak berusia 10 hingga 15 tahun.- MalaysiaGazette