BUTTERWORTH – Hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perai di sini meriah dengan kehadiran dua robot Transformers, Optimus Prime dan Bumblebee yang menyambut murid Tahun 1 yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekolah ini mendapati, ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah seawal 6.45 pagi dan guru-guru dilihat menunggu ketibaan murid di hadapan pintu masuk sekolah.
Rata-rata murid yang datang sangat teruja melihat figura robot berkenaan sebaik menjejakkan kaki di pintu utama sekolah.
Malah ada ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambar anak mereka bersama dua robot tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan pihak sekolah mengambil insiatif menyediakan dua robot tersebut untuk memberi galakkan kepada 46 murid Tahun 1 dan lebih 40 murid prasekolah yang memulakan persekolahan di sekolah tersebut hari ini.
Bapa kepada seorang murid Tahun Satu, Khairul Azreen Jemidin, 34, berkata, dia menyambut baik usaha pihak sekolah yang meraikan kedatangan murid-murid, sekali gus memeriahkan lagi suasana hari pertama persekolahan.
“Anak lelaki saya Muhmmad Darwish Haraz juga nampak sangat gembira dan teruja ke sekolah hari ini…persiapan juga telah dibuat awal dan anak saya memang sudah bersedia,” kata peguam itu kepada pemberita ketika ditemui di sekolah di sini, hari ini.
Seorang ibu, Azriani Rahim, 36, pula berkongsi kegembiraan anak lelaki sulungnya, Muhammad Zayyan Ukhaeil Afifi, 7, untuk ke sekolah, pagi ini.

“Dia dilihat mula teruja sejak minggu lalu dan kegembiraan itu semakin jelas ketika pendaftaran murid darjah satu berlangsung.
“Malah, hari ini juga menjadi satu kenangan penting bagi saya dan suami apabila melihat sendiri suasana yang cukup meriah anak-anak ke sekolah disambut figura yang sebelum ini hanya didengari dari mulut orang lain,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Syukur Mohd Patthi yang menggayakan pakaian robot Optimus Prime itu berkata, dia dan rakannya diminta hadir oleh pihak sekolah bagi menyambut murid-murid baharu sempena sesi awal persekolahan 2025/26 yang bermula hari ini. – MalaysiaGazette