Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu merayu undi rakyat Selangor khususnya masyarakat Cina kerana penduduk negeri itu tidak mahu lagi bersama seorang pengkhianat politik.

Itu dakwa Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategi Keadilan Selangor berkata, rekod politik Mohamed Azmin jelas menunjukkan beliau adalah individu bertanggungjawab meruntuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik negara.

“Semua orang tahu peranan beliau dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan yang dipilih rakyat. Sejak itu, negara berdepan dengan krisis politik yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin menyifatkan kepimpinan Mohamed Azmin sebagai Menteri Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai gagal kerana tidak berjaya menarik pelaburan dalam jumlah yang memberangsangkan.

“Retorik pembangkang yang kononnya mahu membantu golongan peniaga Cina hanyalah strategi politik terdesak sedangkan dasar dan polisi Kerajaan Selangor pada masa ini telah membuktikan kejayaan,” katanya.

Beliau menambah Mohamed Azmin lebih sesuai menyalurkan ‘kepakaran ekonomi’ kepada negeri-negeri SG4 yang lebih memerlukan idea pentadbiran berbanding Selangor.

“Kegagalan PN sebagai pembangkang yang berkesan semakin jelas, kerana mereka tidak mampu menjadi penyemak imbang yang kuat terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor merayu kepada seluruh masyarakat Cina khususnya di Selangor bagi memberi peluang kepada parti itu untuk mentadbir negeri tersebut.

Mohamed Azmin Ali memberi jaminan bahawa komponen parti itu termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mengembalikan kekuatan ekonomi.

Beliau mendakwa, negara pada masa kini banyak bergantung dengan tenaga pekerja asing menyebabkan produktiviti menurun dan tiada sebarang peluang baharu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here