GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menyeru semua pemimpin politik agar tidak menggunakan isu agama untuk kepentingan politik kerana ia akan menimbulkan polemik serta kemarahan rakyat.
Ia susulan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk menubuhkan jawatan Menteri Agama Hal Ehwal Bukan Islam yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, ahli dan pemimpin parti politik bukan beragama Islam juga perlu sentiasa berwaspada untuk melontarkan sebarang cadangan berkaitan dengan agama Islam di negara ini sebagai menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, keperluan untuk menjaga keharmonian dan perpaduan antara agama harus menjadi keutamaan, dan politik agama tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menarik sokongan atau mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.
“Kita memuji ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak cadangan kerajaan perlu mewujudkan jawatan Menteri Agama Hal Ehwal Bukan Islam dan ia sekali gus membuktikan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dengan isu-isu yang menyentuh kedudukan agama Islam di negara ini.
“Malah, kenyataan Perdana Menteri itu turut dapat memadam kemarahan umat Islam terhadap pihak tertentu yang mempertikaikan bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bercadang memperkenalkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis perayaan dan upacara kematian bukan Islam serta kunjungan majlis di rumah ibadat selain Islam.
“Kemungkinan masih ramai rakyat tidak sedar bahawa mana-mana parti yang menjadi kerajaan sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk memelihara syiar Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakan Islam sebagai agama Persekutuan”, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, penggunaan agama dalam permainan politik hanya akan merosakkan keharmonian yang telah lama dinikmati rakyat di negara ini yang berbilang kaum dan agama.
Media sebelum ini melaporkan Anwar menolak cadangan Yu Hui yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu untuk Islam dan bukan Islam.
Anwar kemudian menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan sedia ada sudah mempunyai Menteri Agama, Menteri Perpaduan serta jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum dan agama di negara ini. – MalaysiaGazette