NIBONG TEBAL – Seramai 20,192 orang murid Tahun Satu telah mendaftar di 269 sekolah di Pulau Pinang bagi memulakan sesi persekolahan tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, jumlah tersebut menurun sebanyak 1.73 peratus atau 356 murid berbanding tahun lepas.
Bagi sesi persekolahan tahun lepas, murid Tahun Satu negeri ini yang mendaftar adalah seramai kira-kira 20,548 orang membabitkan 270 buah sekolah.
“Untuk hari ini, seramai 235,305 murid memulakan persekolahan di 396 sekolah di Pulau Pinang dengan 20,192 murid mendaftar bagi Tahun Satu manakala 16,814 pelajar di Tingkatan Satu.

“Mengikut pecahan seramai 100,681 murid mendaftar di sekolah menengah manakala 126,608 di sekolah rendah dan 8,016 murid di pra sekolah di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2025-2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini, hari ini.
Tambah beliau, hampir semua sekolah di negeri ini berjaya mengendalikan sesi pertama persekolahan dengan baik, tanpa menghadapi isu kepadatan yang serius.
“Kebanyakan sekolah dilaporkan beroperasi dengan jumlah murid dalam kelas antara 30 hingga 35 orang dan hanya sedikit sekolah yang masih menjalankan dua sesi.
“Selain itu, cuaca yang tidak menentu turut menjadi perbincangan dan kementerian menggalakkan murid yang mengalami simptom seperti batuk atau demam untuk memakai penutup muka di sekolah.
“Mereka juga diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian lebih sesuai sekiranya cuaca panas,” katanya. – MalaysiaGazette