KUALA LUMPUR – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan rancangan kerajaan berhubung undang-undang itu akan diperjelaskan pada persidangan Dewan Rayat pada minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan itu akan melibatkan tahanan di bawah akta tersebut.
Beliau berkata, kementeriannya sedang berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membolehkannya membuat penjelasan itu pada sidang minggu ini.
“Saya akan bagi penjelasan menyeluruh tentang keadaan semasa dan apakah rancangan ke hadapan yang sekarang kerajaan Madani sedang usahakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang membangkitkan isu mengenai dakwaan ahli keluarga tahanan Sosma bahawa tahanan didera.
Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bersetuju Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Sosma.
Menteri Komunikasi itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya iaitu diteliti dan disemak semula.
Kelmarin, Saifuddin berkata, kerajaan akan menilai semula Sosma khususnya Seksyen 13 berkaitan dengan jaminan dalam usaha penambahbaikan undang-undang sedia ada.
Beliau akan membuat kenyataan menteri di Parlimen minggu depan untuk menjelaskan hala tuju akta tersebut termasuk memberi penekanan kepada seksyen yang perlu diteliti semula. – MalaysiaGazette