KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk tindakan biadab Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.
Ahli Parlimen Arau (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Malaysia perlu menyatakan pendirian itu yang jelas tidak menghormati bantahan daripada masyarakat antarabangsa.
“Saya juga berdoa semoga rakyat Palestin kembali tenang dan lega setelah gencatan senjata.
“Kita minta supaya kerajaan mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk tindakan Presiden Trump untuk mengambil alih Gaza.
“Malah Trump cuba menghalang rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air dan yang berada di sana supaya mereka keluar berpindah ke tempat lain,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Trump berikrar AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ daripada Trump sebelum itu untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal, sambil memanggil Gaza sebagai ‘tapak perobohan.’
Dalam masa sama, Shahidan mendesak kerajaan mengutuk sekerasnya tindakan Isreal yang sebelum ini berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Kita juga mengutuk tindakan Benjamin Netanyahu yang tidak menghormati Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette