Ramanan dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menzahirkan ucapan ‘Nandri’ dalam bahasa Tamil yang bermaksud terima kasih kepada Perdana Menteri.

Ucapan itu, kata Ramanan bagi pihak masyarakat India selepas datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyelesaikan isu menghantui kaum ini sejak lebih 27 tahun berkaitan perumahan komuniti India di Bestari Jaya, Tanjung Karang.

Ramanan yang turut dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal komuniti India berkata, Perdana Menteri amat komited serta prihatin dalam menangani isu-isu yang melibatkan masyarakat India di negara ini.

“Kerajaan Madani bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi perhatian terhadap isu-isu khusus yang melibatkan semua kaum, termasuk masyarakat India. Beliau sentiasa memberi perhatian tentang perkara mengundang kebimbangan golongan sejak bergelar pemimpin nombor negara.

“Saya mewakili masyarakat India di negara ini ingin merakamkan ‘Nandri’ kepada PM  dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas kejayaan menyelesaikan isu perumahan ini yang tertangguh hampir 27 tahun.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang telah membantu merealisasikan impian ini. Kerajaan mendengar dan bertindak. Inilah cara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Perdana Menteri sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai isu-isu yang melibatkan masyarakat India daripadanya termasuk semua inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.

Baru-baru ini kerajaan melalui KPKT telah bersetuju dengan cadangan pembangunan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang, Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM75 juta.

Projek melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM35 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Ia akan dibangunkan di atas tanah seluas 20 ekar yang diberikan secara percuma oleh Berjaya Corporation Berhad (BCB).

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya ini merupakan projek rumah teres satu tingkat dalam kategori jualan terusdan akan menawarkan sebanyak 245 unit rumah dengan dilengkapi kemudahan seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti, dan taman permainan kanak-kanak.

Rumah ini bakal didiami oleh 245 keluarga pekerja ladang dari lima ladang utama, iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi, dan Ladang Minyak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here