Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dikesali kerana tidak menyentuh nasib 16,000 kakitangan syarikat industri minyak dan gas itu yang didakwa bakal ditamatkan perkhidmatan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Shahidan Kassim berkata, kerajaan perlu mengambil berat nasib rakyat Malaysia yang bakal hilang punca pencarian akibat kerjasama dengan syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerjasama Petronas-Petros, tapi tak sebut tentang kemungkinan 16,000 pekerja akan diberhentikan.

“Kita kena ambil tahu, pada pandangan saya, Petronas ini dari peringkat atas sampai ke bawah, kita lihat gajinya agak berbeza.

“Pengerusi Petronas ada jet peribadi, cuba kurangkan pangkat ini supaya Petronas boleh bertahan dan jangan buat apa-apa, kita tengah susah ini,” katanya ketika berbahas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, langkah penyusunan semula syarikat itu untuk memastikan ia dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Kata Tengku Taufik, pada masa ini, Petronas mempunyai seramai 52,000 tenaga kerja dan 16,000 darinya adalah pemangkin utama.

Sejak penubuhannya, Petronas telah menyumbang RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport dan kumpulan wang amanah negara.

Selain kakitangan Petronas, kerajaan juga digesa mempertimbangkan menamatkan kontrak yang bakal menimpa 3,000 penjawatan awam yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apakah benar kerajaan akan menamatkan kontrak 3,000 orang kakitangan awam yang berkelulusan SPM?

“Ni tengah susah Yang Berhormat, tolonglah, jangan buat kerja ini, buat kerja lain yang berfaedah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast