ISKANDAR PUTERI – Pohang Steelers FC berazam mendapatkan tiga mata ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Ketua jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha berkata, anak buahnya bertekad berjuang habis-habisan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), malam ini.
Ini kerana kedudukan kelab Korea Selatan itu yang goyah dan berpotensi dipintas oleh dua pasukan dari China iaitu Shanghai Port dan Shanghai Shenhua sekiranya kedua-dua pasukan memenangi perlawanan terakhir masing-masing.
Tae-ha enggan melihat Pohang Steelers yang berada di kedudukan kelapan dengan mengutip sembilan mata terlepas peluang untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik ACLE.
Tambahnya, rekod perlawanan menentang JDT pada 2021 tidak memberi jaminan bahawa kemenangan akan datang bergolek buat kelab Korea Selatan itu, sebaliknya perlu berusaha keras bagi memburu kemenangan.
“Kami enggan menjadikan rekod pertemuan antara dua pasukan sebagai ukuran JDT sudah berbeza dalam tempoh empat tahun ini. Kami jangkakan satu pertembungan yang hebat lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang keramat mereka.
“Walaupun kami tewas pada Kawasaki Frontales 4-0 dalam saingan ACLE dan tumpas kepada Daejeon Hana 3-0 dalam saingan liga domestik, itu tidak menghalang untuk pemain kekal komited dan cuba bangkit ke landasan kemenangan.
“Saya yakin pemain akan beri persembahan terbaik malam esok, mereka juga tampak berkobar-kobar untuk membuat persiapan rapi, malah kami juga ada pengganti mengisi posisi Jonathan (Aspropotamitis) yang digantung akibat kad merah,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Pada saingan ACL yang berpusat di Bangkok, Thailand, pada 28 Jun 2021, Pohang Steelers menewaskan JDT 4-1 dan menang 2-0 pada 1 Julai 2021.
Ditanya mengenai pemain JDT yang akan diberi tumpuan dalam perlawanan itu, Tae-ha mengakui kesebelasan utama JDT yang bakal diturunkan memiliki kualiti permainan yang tinggi dan gemar bermain secara pantas.
“Saya perlu awasi pemain bernombor 9 (Bergson da Silva) dan pemain bernombor 30 (Natxo Insa) yang menjadi figura dalam pasukan itu kerana kedua-dua pemain sentiasa beri impak dan menjadi pencetus kebangkitan JDT,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Pohang Steelers, Han Chan-hee menegaskan rakan sepasukan sudah bersedia untuk berdepan JDT dan menghidupkan peluang untuk kekal dalam lapan pasukan terbaik Zon Timur untuk ke saingan seterusnya.
“Kami bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dan mahu menidakkan kemenangan JDT malah kami tidak risau dengan kehadiran lebih 30,000 penyokong mereka.
“Mengenai faktor cuaca di sini, ia tidak akan mencetuskan masalah buat kami kerana dapat menyesuaikan diri dan optimis mampu bermain dengan corak permainan berintensiti tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette