Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Selangor menyifatkan rayuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya masyarakat Cina memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri itu tidak lebih sebagai umpan untuk menarik sokongan terhadap parti tersebut.

Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi berkata, apa yang ditawarkan oleh PN menerusi rayuan Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor itu tidak mungkin boleh dikotakan dalam keadaan PN yang disifatkan semakin berpecah.

Jelas beliau, situasi politik semasa menunjukkan perpecahan dalam kalangan parti komponen PN khususnya antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan semakin hari semakin terserlah, umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletus.

Katanya, ia bermula dengan peletakan jawatan Bendari Agung PN oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu yang disifatkan pemimpin profesional dengan reputasi mengatasi Mohamed Azmin yang dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.

“Apabila YB Azmin Ali melontarkan pandangan kononnya pilihanraya akan berlaku hujung tahun ini, Pas tidak menyambut pandangan Setiausaha Agung PN ini atau seolah-olah menolak pandangan itu.

“Maka semakin jelas pelantikan Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN ini terus memecah-belahkan blok pembangkang PN.

“Bahkan reputasi ketika (Mohamed) Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor dahulu tidaklah sehebat di bawah kerajaan Perpaduan Negeri Selangor yang ada pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, parti Gerakan juga sering dilihat menongkah arus dan pandangan dalam blok pembangkang terutama dalam soal berkaitan kepentingan bukan Melayu.

Ujar beliau, pertelingkahan secara terbuka antara Gerakan dan Pas dan Bersatu itu memperlihatkan betapa tidak stabilnya politik dalaman PN ketika ini.

“Pas dan PPBM (Bersatu) yang ghairah merebut sokongan orang Melayu dengan isu-isu yang selalunya ekstrim sangat tidak menyenangkan Parti Gerakan.

“Kehadiran Gerakan di dalam gabungan blok PN dilihat hanya sekadar ada parti yang didominasi oleh bukan Melayu tetapi pengaruh dan peranan Gerakan dibatasi oleh Pas dan PPBM (Bersatu),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamed Azmin merayu masyarakat Cina khususnya di Selangor memberi peluang kepada PN untuk mentadbir negeri tersebut.

Menurut Mohamed Azmin, beliau memberi jaminan komponen parti PN termasuk Gerakan, Bersatu dan Pas akan mengembalikan semula kekuatan ekonomi di Selangor.

Beliau mendakwa, negara pada masa kini banyak bergantung dengan tenaga pekerja asing menyebabkan produktiviti menurun dan tiada sebarang peluang baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast