KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera menyiasat kesahihan laporan media bersandarkan Indeks Jenayah Numbeo 2025 yang mendakwa Kuala Lumpur dan Klang di tempat ketiga dan keempat bandar paling berbahaya di Asia Tenggara.
Lim Lip Eng (PH- Kepong) berkata, sekiranya laporan itu berasas, ia bukan sahaja merungsingkan bahkan boleh menjejaskan keselamatan negara selain ekonomi boleh terjejas khususnya sektor pelancongan.
“Jika laporan ini benar, ia berpotensi menarik perhatian sindiket jenayah asing dan tempatan, berhimpun dan beroperasi di ibu kota kita dan bandar Klang.
“Oleh itu saya memohon kerajaan, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk segera mengenal pasti kesahihan sumber laporan ini.
“Langkah-langkah proaktif dan drastik perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan Kuala Lumpur dan Klang kekal sebagai tempat yang selamat untuk semua orang,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam media melaporkan Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga bandar paling berbahaya di Asia Tenggara, manakala bandar Klang pula menduduki tempat keempat.
Laporan berita tersebut dilaporkan media tempatan semalam yang menggunakan data daripada Indeks Jenayah Numbeo 2025.
Indeks itu turut menyenaraikan Pulau Pinang sebagai bandar paling selamat di Malaysia.
Sementara itu, Lip Eng juga menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menangani skim pelaburan palsu dan penipuan Ponzi yang semakin berleluasa di negara.
“Setiap bulan kita membaca berita tentang pelbagai skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi yang dirancang untuk menipu orang ramai.
“Banyak syarikat yang menggunakan nama seperti Amanah, Cash Trust dalam skim Ponzi,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, dua syarikat iaitu Octowill Trustees Berhad dan Provent Venture Capital didakwa menyalahgunakan gambar dan nama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan beliau sendiri untuk mempromosikan skim pelaburan palsu untuk menipu orang ramai.
“Saya menyeru pihak polis, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia serta semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan undang-undang segera terhadap dua syarikat tersebut.
“Pihak berkuasa perlu segera menyita aset serta bank akaun syarikat termasuk semua akaun pemegang syer dan pengarah syarikat yang terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette