KUALA LUMPUR – Kemeriahan mewarnai Dataran Merdeka pada Sabtu lalu apabila Sukaneka Tradisional berlangsung sempena dengan program KUL Vibes 2025.
Acara yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bagi mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat perpaduan.
Perasmian program disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang turut meluangkan masa menyaksikan pertandingan berlangsung.
Sebanyak 10 permainan tradisional dipertandingkan dalam dua kategori iaitu Terbuka dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan antara acara yang mencuri tumpuan ialah lari dalam guni, tapak gajah, boling kelapa, tarik upih dan terompah gergasi.

Suasana menjadi lebih gamat dengan sorakan penyokong apabila peserta menunjukkan aksi lucu dan penuh semangat dalam setiap pertandingan.
Rata-rata peserta berpendapat, program sedemikiani mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali permainan tradisional.
Dalam kategori Terbuka, pasukan Lalalitamplom dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM1,500, diikuti Dak Dak Hafest (RM800), Geng Lengoi (RM500), dan Five GL (RM300).
Bagi kategori OKU, pasukan Well Done memenangi RM1,000, diikuti Best (RM700), Sugee (RM500), dan Pelangi (RM300).
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehaped.
Penganjuran sukaneka itu mendapat sambutan menggalakkan dan membuktikan bahawa permainan tradisional masih relevan serta mampu menyatukan masyarakat.
DBKL dalam kenyataan berharap program itu terus menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan dan mempromosikan budaya di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur.
Dengan kejayaan KUL Vibes 2025, diharapkan acara seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar nilai warisan permainan tradisional terus dipelihara. – MalaysiaGazette