Mokhtar Senik
Mokhtar Senik

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Pas di seluruh negara diingatkan tidak menari mengikut paluan dan rentak pihak-pihak tertentu yang mahu melihat pertarungan jawatan dalam parti itu khususnya bagi merebut dua jawatan tertinggi.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, sesiapa pun yang cuba mengganggu Pas sama ada pihak luar atau dari dalam parti itu sendiri tetap dianggap musuh Pas.

Tegasnya, sesiapa pun yang cuba menghuru-harakan Pas akan berkesudahan dengan laluan politik yang gelap dan akhirnya hilang dari radar, tidak kira sama ada mereka golongan ulama atau profesional.

“Sekali ahli Pas menolak kamu, maka sukar lagi untuk kamu beraksi dipentaskan ini kecuali terpaksa menari dipentaskan musuh dengan serba kehinaan dan kepincangan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Catatan itu merujuk kepada usaha berterusan pihak tertentu yang mencadangkan supaya dua jawatan tertinggi Pas iaitu presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan parti tersebut hujung tahun ini.

Mokhtar adalah antara pemimpin Pas yang teguh dengan pendirian dua jawatan tertinggi parti itu yang kini disandang oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden tidak dipertandingkan kerana menyifatkan Pas masih memerlukan ketokohan dua pemimpin berkenaan.

Sementara itu, beliau tidak menolak gendang supaya dua jawatan tertinggi Pas tersebut dipertandingkan dipalu sama ada oleh orang luar serta dari dalam parti itu sendiri.

Katanya, pihak luar sememangnya mahu melihat pertarungan di dalam Pas sehingga berlakunya perubahan kepimpinan termasuk dengan alasan Abdul Hadi perlu direhatkan kerana masalah kesihatan.

Jelas beliau, perkara itu pernah berlaku sewaktu bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang diketengahkan untuk menentang Abdul Hadi bagi merebut jawatan Presiden ketika pemilihan parti pada 2015.

Selain itu, katanya, cadangan supaya dua jawatan tertinggi di dalam Pas dipertandingkan juga datang dari dalam parti itu sendiri apabila ada ahli yang ghairah untuk mengambil alih kepimpinan parti.

“Ini pernah berlaku ketika Aziz Bari diberi peluang menghentam TGHH (Abdul Hadi) dalam sebuah program terbuka.

“Pintu program ini dibuka seluas-luasnya oleh orang di dalam PAS sendiri. Kononnya untuk menelanjangkan kelemahan TGHH agar menjadi alasan mengapa TGHH patut ditukar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here