Monna menyarankan agar Fuziah untuk lebih kerap turun padang. Ihsan Foto : MCA

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatan Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA, Datuk Dr. Monna Ong menyarankan agar Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh agar lebih kerap turun padang bagi memahami isu kos sara hidup rakyat.

Ia susulan pengakuan Fuziah yang terkejut dengan harga keperluan peralatan sekolah mencecah RM200.

“Pengakuan itu menimbulkan persoalan tentang keprihatinan pemimpin dalam memahami realiti yang dihadapi rakyat, terutamanya dalam menangani isu kenaikan kos.

“Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Monna turut memberi cadangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan secara terbuka antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan bagi mencari penyelesaian efektif sebelum menggubal sebarang dasar.

“Kos RM200 bagi peralatan sekolah bukanlah perkara baharu malahan kerajaan terdahulu juga pernah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Bantuan Persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa.

“Justeru, kerajaan hari ini perlu memastikan dasar sedia ada untuk diteruskan dan ditambah baik,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu KPDN tidak seharusnya hanya bergantung kepada pihak pasar raya atau swasta untuk menawarkan harga mampu milik.

“Lebih-lebih lagi dengan peningkatan cukai SST dari enam peratus ke lapan peratus serta pengenalan cukai baharu yang menambah beban rakyat.

“Teguran  Fuziah kepada pasar raya yang tidak melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back to School turut menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan mahu melepaskan tanggungjawab kepada sektor swasta.

“Sebagai langkah penyelesaian, kerajaan digesa untuk mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu kenaikan kos dengan memastikan pelaksanaan inisiatif bantuan lebih menyeluruh dan berkesan untuk manfaat rakyat.” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here