KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk menambah kuota minyak masak paket bersubsidi sedia ada sebanyak 60,000 metrik tan sebulan ketika ini susulan penggunaan isi rumah dan industri mikro tidak mengalami peningkatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pada awalnya minyak peket bersubsidi yang diperkenalkan pada 2007 untuk membantu isi rumah bagi kegunaan domestik.
“Pada Julai 2022, Perdana Menteri ketika itu Yang Berhormat Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telahpun memanjangkan kegunaan minyak masak bersubsidi ini kepada industri mikro.
“Kita tengok jumlah isi rumah dan industri mikro, mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, jumlah isi rumah ialah 7.9 juta, di mana keperluan satu isi rumah ialah 4.8 kilogram minyak masak sebulan.
“Kalau kita ambik di bawah 80 peratus ke bawah isi rumah, jumlahnya ialah 30.3 metrik tan sebulan. Pada 2023, industri mikro seperti penjaja makanan di tepi jalan dan pasar malam hanya memerlukan 21,285 metrik tan sebulan.
“Maksudnya jumlah 60,000 metrik tan itu mencukupi untuk kita agihkan kepada 80 peratus isi rumah dan industri mikro,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah subsidi yang telah dibelanjakan untuk eCOSS sepanjang 2024.
Kee Chin bertanya sejauh mana kerajaan bersedia untuk meningkatkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit memandangkan kerap kali ada rungutan masalah kekurangan bekalan di pasaran.
Fuziah juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, kerajaan telah membelanjakan RM1.945 bilion pada 2024 termasuk RM845 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 dan RM1.1 bilion dalam perbekalan tambahan
“Ketika ini, KPDN berpandangan kuota sedia ada ini mencukupi untuk menampung keperluan berdasarkan kadar penggunaan minyak masak yang kita kenal pasti siapa wajar menerima manfaat tersebut,” katanya.
Ketika ditanya tentang ketidakcukupan bekalan susulan dakwaan wujudnya banyak restoran menyalahgunakan minyak masak peket bersubsidi, Fuziah berkata, pihaknya menerusi badan penguat kuasanya sentiasa melakukan pemantauan.
“Peniaga mikro ini tidak termasuk restoran, ketika ini penguat kuasa KPDN memang turun padang masuk ke restoran-restoran untuk memastikan bahawa tiada penyalahgunaan minyak masak ini.
“Kita juga ada baca berkenaan laporan-laporan berkenaan tindakan-tindakan diambil ke atas restoran-restoran yang menggunakan minyak masak peket, mereka tak boleh guna.
“Kalau penjaja di tepi jalan, pasar malam itu insya-Allah kita benarkan sebab kita tak nak kos itu diturunkan kepada pengguna, kalau penjaja guna minyak botol, kos pengeluaran meningkat, maka dia turunkan kos itu kepada pengguna, jadi kita cuba nak elakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette