JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang tukang besi atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging di bandar ini, minggu lalu.
Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging iaitu suatu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini, pukul 2.24 petang, pada 11 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah memberikan hukuman ringan kerana telah menyesali perbuatan yang dilakukannya itu.
“Saya menyesal. Saya mabuk ketika itu. Jadi, saya minta hukuman seringan-ringannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.
“Jika diteliti gambar kecederaan, mangsa mendapat lima jahitan pada kepalanya yang juga satu anggota badan yang sangat sensitif. Perbuatan ini menyebabkan mangsa juga trauma.
“Mohon hukuman penjara bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi lagi kesalahan ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebat itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 Februari lalu.
Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa minum di kawasan terbabit sebelum tertuduh datang menendang motosikal orang awam dan mangsa bertindak menegur perbuatan tertuduh.
Tertuduh berang dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka sebelum tertuduh menghilangkan diri.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, tertuduh datang ke arah mangsa dengan membawa sebilah pisau pemotong daging lalu menetak kepala mangsa beberapa kali.
Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum rebah berlumuran darah dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette