Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 8,076 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis bagi tahun 2024.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu menurun berbanding 10,160 calon tidak hadir pada peperiksaan SPM tahun 2023.

“Daripada jumlah tersebut juga, seramai 6,231 orang merupakan calon sekolah KPM ketimbang 8,676 calon bagi SPM Tahun 2023.

“Maka adalah jelas bahawa statistik mencatatkan satu trend penurunan dari segi ketidakhadiran murid,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kah Woh menjawab pertanyaan Zakri Hasan (PN-Kangar) yang ingin tahu langkah intervensi segera KPM terhadap calon SPM 2024 yang tidak menduduki peperiksaan SPM yang mana kira-kira 10,000 calon dilaporkan tidak hadir kertas pertama peperiksaan, sama ada mereka akan diberi peluang untuk menduduki SPM sesi kedua.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh berkata, data rasmi kehadiran calon bagi peperiksaan SPM Tahun 2024 akan dikeluarkan pada hari pengumuman keputusan peperiksaan, tidak lama lagi.

Sementara itu, beliau berkata, ketidakhadiran calon pada peperiksaan itu adalah isu yang serius.

“Melalui pelbagai intervensi, inisiatif dan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM sepanjang masa ini, jumlah ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM 2024 telah mencatatkan suatu penurunan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, antara alasan yang direkodkan oleh KPM berhubung ketidakhadiran calon SPM adalah sudah bekerja, masalah keluarga, bencana dan masalah kesihatan.

Seramai 386,739 calon baharu peperiksaan itu mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan daripada jumlah tersebut, 345,129 orang merupakan calon sekolah KPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here