KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Lai melonjak ke tangga ke tiga dunia dalam beregu campuran apabila mengumpul 79,352 mata.
Menurut kemas kini terbaharu ranking badminton dunia, pasangan itu berjaya memintas kedudukan yang sebelum ini milik satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie serta Toh Ee Wei.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula kekal di kedudukan ke tujuh dunia selain kedudukan beregu utama Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin tidak berubah di tempat ke-2.
Satu lagi beregu negara, Aaron Chia dan Soh Woi Yik pula kekal ke lima terbaik dunia.
Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah turun satu anak tangga ke kedudukan keenam berbanding kelima sebelum ini.
Kedudukan kelima kini menjadi milik pasangan Rin Iwanaga dan Kie Nakashi yang mengumpul 79,600 mata manakala Pearly dan Thinaah pula 78,220 mata.
Tahun ini, pencapaian terbaik mereka muncul Naib Juara Masters Indonesia di mana Pearly dan Thinaah bakal beraksi di Masters Orleans yang akan berlangsung pada 4 hingga 9 Mac depan.
Cabaran getir menanti dua pemain itu apabila beraksia di Kejohanan Seluruh England yang akan berlangsung pada 11 hingga16 Mac nanti. – MalaysiaGazette