Dr. Zaliha Mustafa ketika melawat Carcosa Seri Negara

KUALA LUMPUR – Banglo bersejarah Carcosa Seri Negara yang ditutup sejak 1 Jun 2019 bagi kerja pemuliharaan selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih premis itu daripada pihak ketiga akan dibuka semula Julai ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, bangunan yang dibina pada 1896 itu akan menjadi lokasi kepada delegasi luar negara bagi memperkenalkan warisan Malaysia.

“Insya-Allah pembangunan semula Carcosa Seri Negara ini akan siap pada Julai tahun ini dan kami berusaha untuk buat satu program khas seperti hi-tea untuk memperkenalkan Heritage Malaysia kepada delegasi-delegasi luar negara.

“Dengan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Khazanah Nasional menjadikan projek ini sebagai flagship kedua dalam pemuliharaan warisan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Zaliha, pembangunan semula Carcosa Seri Negara sebagai sebahagian daripada Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD).

Fasa pertama pemuliharaan Carcosa Seri Negara adalah sebagai muzium dan galeri seni.

Manakala fasa kedua menyaksikan pembangunan hotel lindungan-eko menggabungkan layanan yang mesra kepada tetamu bertaraf dunia dengan kelestarian alam.

Katanya, kerajaan komited menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya moden tetapi kota beridentiti yang kaya dengan sejarah dan budaya.

Carcosa dan Seri Negara adalah dua banglo era kolonial yang terletak di atas tanah seluas 13.3 hektar berdekatan Taman Botani Perdana di ibu kota.

Carcosa yang dibina pada tahun 1896, merupakan kediaman rasmi Residen Jeneral pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham.

Manakala Seri Negara yang dibina pada tahun 1913 berfungsi sebagai rumah tetamu untuk kerabat diraja dan tetamu kenamaan.

Kedua-dua bangunan tersebut telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Hak penjagaan bangunan itu juga telah dipindahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Jun 2019 oleh Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Carcosa dan Seri Negara telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here