KUALA LUMPUR – DAP diingatkan supaya belajar menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini sekiranya mahu pemimpin mereka dihormati.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris mendakwa, sudah banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti itu yang telah melukai hati rakyat majoriti di negara ini.
Katanya, ia termasuk kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi DAP apabila pernah menghasut rakyat Malaysia untuk tidak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkasa ingin bertanya kepada pengerusi DAP, sebelum DAP menggesa kerajaan untuk mengubal akta antidiskrimasi ini, adakah DAP dan pemimpin DAP selama ini belajar untuk menghormati kaum majoriti yang ada di dalam negara Ini?
“Perkasa melihat sudah berulang kembali, pemimpin-pemimpin kamu yang bukan sahaja tidak menghormati sensitiviti kaum majoriti yang ada di negara ini, malah pemimpin kamu sanggup melepasi garis sempadan batasan bila cuba masuk campur dalam urusan agama Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai mana saranan dari pemimpin kamu yang menyarankan untuk tidak menggunakan duit KWSP bagi tujuan menunaikan haji,” katanya dalam kenyataan.
Semalam media melaporkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dipetik berkata, beliau menggesa kerajaan untuk menggubal akta antidiskriminasi kaum bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum.
Katanya, akta itu penting bagi menghentikan sama ada individu perseorangan yang tidak bertanggungjawab mahupun orang politik daripada terlibat dalam ucapan kebencian, mempamer kebencian kaum dengan apa cara sekalipun serta tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia.
Menurutnya, kejadian di Sepang melibatkan seorang peniaga enggan menjual jagung kepada masyarakat India dan menggunakan bahasa merendahkan adalah sangat membimbangkan.
Jelas beliau, sentimen perkauman yang ditunjukkan secara terbuka dan tanpa rasa malu, tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh, sama seperti ucapan rasis oleh ahli politik ekstrem.
Mengulas lanjut Irwan Fahmi berkata, Perkasa bersetuju dengan akta yang dicadangkan dicadangkan, tetapi, adakah pelaksanaannya dibuat secara adil untuk semua kaum.
Ini kerana beliau mendakwa, jika DAP bercakap soal orang Melayu dan Islam, sehinggakan beratus laporan polis dibuat, tiada tindakan diambil, sebaliknya, apabila, orang Melayu mengeluarkan kenyataan hingga membuat mereka (DAP) terasa hanya dengan satu laporan polis sahaja tindakan akan diambil.
“Adakah ini adil…hukuman hanya dikenakan terhadap bangsa Melayu sahaja tetapi, bangsa bukan Melayu, minta maaf dan dibebaskan,” katanya. – MalaysiaGazette