KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh apabila Datuk Awang Hashim (PN – Pendang) mendakwa Ahli Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) cuba mencampuri urusan orang Islam dua tahun lepas.
Awang mendakwa Koo Ham mencadangkan agar pakar Perlembangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kopetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada September 2023.
“Bukankah ini cabaran kepada Islam? Buat apa campur, orang Melayu Islam tak ganggu agama kamu, apa kamu buat, saya baca surah tadi.
“Kalau tak ada niat, memperlekeh, menghina semua ini bermula apabila DAP menjadi kerajaan, sebelum ini tiada masalah,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Koo Ham bangkit dan cuba mencelah beberapa kali hingga memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor campur tangan untuk mengawal keadaan.
“Yang Berhormat….Yang Berhormat….Yang Berhormat…Saya ambil Peraturan 42, dengar apa saya nak cakap. Yang Berhormat (Pendang), saya bagi 30 saat lagi, Yang Berhormat yang lain duduk,” kata Ramli ketika mempengerusikan Dewan Rakyat pada sesi petang ini.
Awang kemudiannya menuduh tindakan menteri dan wakil rakyat DAP termasuk Koo Ham antara punca menjejaskan keharmonian dan merenggangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini sejak akhir-akhir ini.
“Terima kasih Datuk Yang Dipertua, saya sangat hormati di atas keputusan yang selalu dibuat, jadi kita nak harmoni ini, jangan ganggulah, sebab kita orang Islam bertolak ansur tinggi,
“Saya baca tadi, kami tak boleh nak mengganggu gugat hak orang bukan Islam,” katanya.

Kesal dengan tindakan itu, Koo Ham bangkit sekali lagi dan diberikan laluan dengan merujuk tindakan wakil rakyat Pas itu mengikut Peraturan 36(6) di mana seorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap sesiapa ahli yang lain.
“Tadi Pendang telah membuat kenyataan yang mengelirukan dan mengaitkan saya dengan perkara yang tidak betul.
“Dalam cadangan itu, saya langsung tak hina Islam, jadi bacalah kenyataan akhbar saya. Isunya ialah cadangan hanya supaya pandangan orang bukan Islam diambil kira kalau ada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang akan ada kesan ke atas orang bukan Islam.
“Dalam jawatankuasa itu, ada 11 orang beragama Islam, saya hanya cadangkan dua orang, satu dari badan peguam dan satu lagi orang bukan Islam yang fasih dalam Perlembagaan,” katanya.
Koo Ham melahirkan rasa kesal kerana niat baiknya disalahertikan dan cadangan itu bertujuan agar ia tidak didebatkan di Parlimen ini hingga menjadi isu perdebatan orang awam.
“Kalau boleh semua isu Islam ini dibincangkan dalam satu jawatankuasa. Tadi dikatakan saya mencampuri hal ehwal orang Islam adalah tidak betul, langsung tidak betul, saya mohon beliau menarik balik kenyataan tersebut,” katanya.
Ramli kemudiannya meminta Koo Ham mengemukakan usul jika kenyataan Awang itu tidak berasas.
“Dengar apa saya nak cakap Peraturan 42, Yang Berhormat Beruas, jika anda mendapati apa yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Pendang adalah fakta yang salah, saya minta Yang Berhormat Beruas usulkan,” katanya.
Koo Ham kemudiannya akur dengan permintaan dan bersetuju akan berbuat demikian.
“Terima kasih, saya akan uruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette