SEPANG- Dalam usaha membina masa depan pendidikan tinggi yang lebih cemerlang, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggariskan strategi F.O.C.U.S sebagai panduan badan akreditasi tunggal itu muncul sebagai agensi jaminan kualiti yang dihormati di persada global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, menegaskan kepentingan konsep F – Fleksibiliti dalam Penyampaian, O – Optimis dalam Inovasi, C – Cepat dalam Tindakan, U – Unggul dalam Kualiti dan S – Strategik dalam Kerjasama sebagai landasan utama dalam hala tuju agensi bagi tahun 2025 dan seterusnya.

Katanya, konsep F.O.C.U.S yang diperkenalkan merangkumi pendekatan strategik MQA dalam memastikan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan global, kita perlu memiliki visi yang jelas, strategi yang tersusun dan semangat untuk terus berinovasi, justeru garapan F.O.C.U.S menjadi panduan bagi kita semua dalam mencapai misi ini.

“Setiap elemen dalam konsep ini mempunyai peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara, selari dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf antarabangsa seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Ketua Pegawai Eksekutif bertajuk ‘Membina Masa Depan Pendidikan Tinggi: Ke Manakah Kita 2025?’, hari ini.

Hadir sama, Anggota Majlis MQA, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, Datuk Seri Dr. Michael Tio, Datuk P. Kamalanathan, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Prof. Dr. Othman Mohamed.

Mohammad Shatar berkata, MQA komited untuk memastikan bahawa program pendidikan di Malaysia tidak hanya memenuhi keperluan generasi muda, tetapi juga memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk terus meningkatkan kemahiran mereka pada setiap peringkat umur.

Menyedari hakikat itu, sebahagian daripada F.O.C.U.S, MQA turut memberi tumpuan kepada elemen pendidikan sepanjang hayat (PSH) kerana pendidikan tidak lagi terhad kepada peringkat formal sahaja, tetapi harus diteruskan sepanjang hayat untuk membolehkan individu terus berdaya saing dalam dunia yang semakin berubah.

Selain itu, katanya, aspek pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga memainkan peranan yang amat penting dan Malaysia harus terus berusaha untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, sambil memperkukuhkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan industri di seluruh dunia.

“Dalam era globalisasi ini, kolaborasi dan pertukaran pengetahuan antara negara adalah kunci kepada kemajuan pendidikan tinggi, justeru, MQA akan memperluas jaringan kerjasama antarabangsa supaya Malaysia terus menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang diiktiraf di peringkat global.

“Masa depan pendidikan tinggi bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk beradaptasi dan berinovasi dan kejayaan kita bukan hanya terletak pada dasar dan peraturan, tetapi pada bagaimana kita melaksanakannya dengan penuh dedikasi dan kesungguhan,” katanya.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here