KUALA LUMPUR – Seorang gelandangan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh lelaki warga Myanmar awal bulan ini.
Tertuduh, Ismail Kueh Siew Huang, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian mangsa yang juga gelandangan di kaki lima hadapan premis urut The Tropical SPA, Jalan Tengkat Tong Shin, Bukit Bintang pada jam 9.40 malam 2 Februari lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat minimum 12 kali jika sabit kesalahan.
Majistret Amira Abd Aziz menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat. – MalaysiaGazette