KUALA LUMPUR – Islam mengiktiraf kreativiti dalam berfesyen namun ia tidak boleh dianggap sebagai kebebasan mutlak yang membolehkan seseorang berpakaian atau berfesyen tanpa batasan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, fesyen dalam berpakaian adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam namun ia perlu selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam hukum syarak.
Beliau menegaskan, adalah haram dan berdosa seseorang menyerupai jantina berlawanan dengan cara berpakaian atau berfesyen yang tidak seiring dengan jantina asal.
“Panduan ini berasaskan dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW yang memberikan batasan tertentu agar pakaian yang dikenakan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga mencerminkan nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam kehidupan seorang Muslim.
“Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki dari sudut pemakaian, perhiasan, gaya percakapan dan cara berjalan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan, begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan seperti yang diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian,” katanya.
Beliau mengulas tindakan beberapa individu menampilkan pakaian dan fesyen yang tidak seiring dengan jantina asal pada majlis karpet merah.
Jelasnya, seorang lelaki akan dianggap menyerupai wanita atau seorang wanita akan dianggap menyerupai lelaki boleh dilihat daripada beberapa sudut.
Ini termasuk cara berpakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan serta mengubah bentuk fizikal badan.
Tegasnya, pakaian dan gaya berhias merupakan perkara utama yang amat dititikberatkan dalam isu tasyabbuh.
“Islam sangat menekankan isu pemakaian kerana ia merupakan penampilan luaran seseorang yang boleh memberi gambaran dan tanggapan awal terhadap pemakainya.
“Secara fitrah, gaya pakaian juga melambangkan jantina seseorang individu sehinggakan terdapat larangan menyerupai pemakaian jantina berlawanan.
“Rasulullah SAW jelas melarang perbuatan tersebut dalam banyak hadis Baginda dengan melaknat sesiapa yang berpakaian bercanggah dengan jantina asal,” katanya.
Tindakan beberapa pempengaruh media sosial berpakaian berlawanan jantina pada acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 mengundang kecaman warganet.
Mereka didakwa cuba menormalisasikan budaya LGBT susulan penampilan fesyen kontroversi. – MalaysiaGazette