KUALA LUMPUR – Johor Plantations Group Bhd (JPG) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM257.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024), berbanding RM167.31 juta pada tahun lalu.
Hasil turut naik kepada kepada RM1.52 bilion daripada RM1.25 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan berkenaan berkata, prestasi yang baik itu dipacu oleh kenaikan 21.7 peratus dalam hasil tahun ke tahun (y-o-y) pada TK2024, meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.3 bilion pada TK2023.
“Prestasi kukuh kumpulan untuk TK2024 mencerminkan kecemerlangan dalam operasi dan strategi perniagaan yang optimum.
“JPG mencatatkan peningkatan 9.3 peratus tahun ke tahun dalam pengeluaran tandan buah segar kepada 1.1 juta tan dan peningkatan hasil kepada 22.4 tan sehektar pada TK2024,” katanya.
Bagi suku keempat (S4) TK2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM80.51 juta, berbanding RM62.97 juta pada tempoh yang sama bagi TK2023.
Hasil juga meningkat kepada RM464.93 juta pada S4 TK2024, berbanding RM392.27 juta pada S4 TK2023 disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada minyak sawit mentah dan isirung sawit.
Sehubungan itu, lembaga pengarah syarikat mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.75 sen sesaham bagi suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen bagi tahun itu kepada 5.25 sen sesaham.
JPG berkata kumpulan itu kekal komited untuk menghasilkan produk mampan yang berkualiti tinggi sambil terus memacu kecekapan operasi dengan meningkatkan hasil, kadar perahan minyak dan kecekapan loji, serta mempercepatkan usaha mekanisasi dan pendigitalannya.
Kumpulan itu turut menjangkakan prestasinya pada 2025 adalah memuaskan jika tidak berlakunya sebarang keadaan yang di luar dijangka.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Mohd Faris Adli Shukery berkata JPG berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan dalam perjalanan pertumbuhannya, mengembangkan aliran pendapatan melangkaui sektor huluan.
“Tahun ini, kami kekal teguh dalam komitmen kami untuk meningkatkan hasil. Kami akan terus mengejar kecemerlangan di setiap peringkat, meningkatkan keupayaan teras kami sambil meletakkan diri kami untuk pertumbuhan yang mampan dan merebut peluang-peluang baharu,” tambahnya. – BERNAMA