Tiga bekas penuntut UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tiba untuk pendengaran rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mula mendengar hujahan rayuan enam tertuduh kes bunuh Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain lapan tahun lalu.

Kemua barisan peguam yang mewakili enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali memberikan hujahan bahawa anak guam mereka tidak sepatutnya ke tali gantung.

Malah hujah Datuk Hisyam Teh Poh Teik, seorang individu dikenali sebagai Mejar Zarizal didakwa telah ‘membimbing’ dua saksi utama kes tersebut dengan memberikan keterangan tidak betul terhadap enam tertuduh itu.

Hujahnya, mahkamah perlu menilai balik semua keterangan dua saksi itu, Syafiq Abdullah dan Ahmad Senabil Mohamad bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua perayu kes ini.

“Mahkamah perlu nilai balik semua keterangan kerana ketika sesi soal balas, salah seorang saksi ini mengaku telah dibimbing oleh Mejar Zarizal. Saksi ini juga mengaku bahawa individu itu telah berhubung dengan dia dan juga beberapa saksi lain berhubung kes ini.

“Kes ini sudah dicemari dengan campur tangan pihak lain. Apabila ini berlaku, pastinya tidak akan menguntungkan perayu-perayu ini. Mahkamah perlu ambilkira perkara ini bahawa saksi-saksi telah diberikan tunjuk ajar.

“Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan serius dari aspek undang-undang apabila jatuhkan hukuman mati terhadap perayu-perayu ini, ini adalah satu kegagalan dalam sistem keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan tiga panel bersidang diketuai, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim bersama Datuk Nordin Hasan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Manakala peguam Hamdan Hamzah mewakili tertuduh Mohd Najib, anak guamnya tidak pernah terlibat menyeterika mangsa.

“Tidak ada bukti yang mengatakan anak guam saya ini menekan seterika ke badan mangsa. Malah pendakwaan juga tidak dapat buktikan anak guam saya ini ada niat untuk membunuh si mati,” hujahnya.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula yang mewakili Azamuddin dan Akmal mendakwa, pakar patologi juga tidak memberikan keterangan secara konklusif tentang kematian mangsa dan peguam Zambry Idrus mewakili Hakeem mendakwa ada kemungkinan mangsa meninggal dunia kerana kesan sampingan antibiotik.

Hujah seorang lagi peguam, M Ramachandaran, anak guamnya, Afif tidak mempunyai apa-apa niat membunuh dan mangsa adalah kawan-kawan kepada semua perayu berkenaan.

“Jika begitu, bukankah mahkamah perlu menyabitkan dia dengan kesalahan membunuh tanpa niat bawah Sesyen 304 yang memberikan hukuman maksimum penjara 10 tahun?” soalnya.

Prosiding akan bersambung pada 28 Februari ini.

Terdahulu, ketika awal pagi, kesemua tertuduh dikawal secara ketat ketika tiba di mahkamah malah semua jurufoto dan juruvideo tidak dibenarkan merakam apa-apa gambar ketika kesemua mereka yang berpakaian banduan tiba terus masuk ke bilik bicara.

Turut hadir ibu bapa kepada Zulfarhan iaitu Zulkarnain Idros dan Hawa Osman bersama beberapa ahli keluarga mereka yang lain.

Ibu bapa kepada seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibunuh lapan tahun lalu, Zulkarnain Idrus dan Hawa Osman hadir untuk pendengaran rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 FEBRUARI 2025

Pada Oktober tahun lalu, tiga panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Hukuman penjara 18 tahun mengikut Seksyen 304 (a) diberi oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.

Selain hukuman penjara 18 tahun, lima penuntut itu kecuali Mohamad Shobirin turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 kerana mencederakan Zulfarhan yang mana hukuman berkuatkuasa serentak.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here