Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pelantikan tiga syarikat baharu oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk melaksanakan Pemeriksaan Kenderaan Kenderaan Bermotor (PPKM) selain Puspakom, mungkin membawa beberapa kesan kepada pengguna.

Ini kerana, syarikat yang baru dilantik tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan urusan seperti itu, kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.

Malah beliau mendakwa, nama dua syarikat yang dilantik iaitu Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd dilihat seolah-olah mempersendakan intelek rakyat yang mana semua mengetahui bahawa syarikat itu berkemungkinan besar salah bidang atau industri.

“Puspakom telah beroperasi sejak lama dan mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam bidang pemeriksaan kenderaan bermotor.

“Syarikat-syarikat baharu ini mungkin tidak mempunyai pengalaman yang sama, yang boleh mempengaruhi kualiti pemeriksaan.

“Kesilapan dalam penilaian keadaan kenderaan, terutamanya bagi kenderaan yang sudah tua atau rosak boleh menyebabkan kenderaan yang tidak selamat diterima untuk beroperasi di jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Shahir berkata, aspek kedua yang mungkin berlaku iaitu dari segi pengawasan dan ketelusan.

Katanya, Puspakom yang diletakkan di bawah kerajaan beroperasi dengan pengawasan yang lebih ketat dan berterusan.

Jelasnya, walaupun syarikat-syarikat baharu itu diluluskan oleh MOT, terdapat kebimbangan mengenai tahap pengawasan yang mungkin tidak seketat yang dijalankan oleh agensi kerajaan.

Ujarnya, ini boleh menyebabkan masalah ketelusan, di mana proses pemeriksaan kenderaan mungkin tidak dilakukan dengan adil atau dengan piawaian yang konsisten.

Ketiga kata beliau, pertimbangan keuntungan mungkin boleh berlaku mengatasi keselamatan kerana syarikat-syarikat swasta mungkin lebih memberi tumpuan kepada keuntungan daripada aspek keselamatan kenderaan.

Katanya, mungkin terdapat insentif untuk melonggarkan syarat atau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh bagi mempercepatkan proses dan meningkatkan jumlah pelanggan.

Keadaan itu katanya, boleh menyebabkan peningkatan risiko kemalangan di jalan raya akibat kenderaan yang tidak diperiksa dengan teliti.

“Keempat, masalah infrastruktur dan peralatan apabila Puspakom mempunyai infrastruktur dan peralatan pemeriksaan yang terstandardisasi di seluruh negara.

“Jika syarikat-syarikat baru ini tidak mempunyai akses kepada peralatan yang sama canggih atau terstandardisasi, mungkin terdapat perbezaan dalam kualiti pemeriksaan.

“Ini boleh memberi kesan negatif terhadap ketepatan penilaian kenderaan yang diluluskan untuk beroperasi,” jelasnya.

Justeru Shahir berkata, pecah monopoli Puspakom mungkin membantu dalam aspek memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Bagaimanapun katanya, adalah penting untuk memastikan pengawasan yang ketat dan sistem yang telus bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan PPKM oleh syarikat-syarikat baru itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here