KLANG – Lelaki yang melepaskan tembakan di Setia City Mall pada minggu lalu sempat melakukan lima jenayah samun, pecah rumah, pemerasan dan curi kenderaan sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selepas kejadian, suspek yang dikenali sebagai Ah Boy berusia pertengahan 30-an melarikan diri ke beberapa lokasi di selatan tanah air kemudian ke Banting, Sabak Bernam sebelum ke Pulau Ketam dua hari lalu.
“Dia dari Klang (selepas kejadian tembak menembak di Setia City Mall) dengan Grab. (Dia) ugut pemandu (Grab) hantar ke Melaka, ke Banting ikut ada, ikut lori, lari balik di Klang..Dia tiada kenderaan sendiri.
“Setiap kali naik pengangkutan dia tunjuk senjata,” katanya ketika sidang media di Jeti Pulau Ketam, di sini hari ini.
Tambah Hussein, suspek dipercayai merancang untuk melarikan diri dari negara selepas ke Pulau Ketam.
Terdahulu katanya, suspek yang aktif dalam jenayah sejak 2014 pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan samun.
“Sejak 2014 dia melakukan jenayah dengan beberapa orang lagi dia mula melakukan jenayah seorang diri sejak pertengahan tahun lepas.
“Secara keseluruhan dia telah melakukan 15 kesalahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein tidak menolak kemungkinan suspek merancang menyamun premis perniagaan di Setia City Mall pada minggu lalu.

Sementara itu, katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Selangor menembak mati suspek yang bersembunyi di sebuah hotel di Pulau Ketam dalam serbuan lebih kuran 3 pagi tadi.
Suspek adalah lelaki yang menembak pekerja pembersihan Setia City Mall pada 8 Febuari lalu. – MalaysiaGazette