KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan merempuh tembok stesen timbang kelapa sawit di Jalan Sengkang-Felda Inas, Bandar Tenggara, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 1 pagi semasa mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS 150R.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun dari Bandar Tenggara menghala ke Kulai.
“Sampai di tempat kejadian motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan serta melanggar tembok stesen kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, mangsa, Sarman Saring yang beralamat di Gelang Patah cedera parah di bahagian muka, kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah Bahrin, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan. – MalaysiaGazette