KUALA LUMPUR – Akta anti-diskriminasi kaum yang dicadangkan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng seharusnya memasukan isu rasisme dalam pengambilan pekerja swasta dan penyewaan rumah.
Setiausaha Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Satees Muniandy mendakwa diskriminasi terhadap kaum India bukan hanya berlaku secara lisan tetapi juga terhadap peluang pekerjaan di sektor swasta dan perumahan.
Katanya, pelbagai kajian menunjukkan belia India di Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan yang mencukupi.
“Mereka yang berjaya memasuki sektor swasta pula sering mengalami diskriminasi di tempat kerja hanya kerana kaum mereka. Malangnya, amalan ini telah menjadi kebiasaan yang seolah-olah tidak boleh dipertikaikan.
“Manifesto Harapan 2018 pernah mencadangkan penubuhan suruhanjaya peluang pekerjaan sama rata untuk menangani diskriminasi dalam pengambilan pekerja.
“Namun, selepas berkuasa, beberapa pemimpin (Pakatan) Harapan dilaporkan menolak cadangan tersebut dan akhirnya ia digugurkan. Adakah Lim Guan Eng akan menyokong cadangan ini untuk dilaksanakan sekarang?” soalnya dalam kenyataan.
Bekas pemimpin DAP itu mendakwa penyewaan rumah juga merupakan isu utama kepada masyarakat India dengan kajian menunjukkan masyarakat itu menghadapi kesukaran untuk menyewa rumah di Malaysia.
Satees dalam kenyataan berkata, terdapat pemilik rumah secara terang-terangan menyatakan dalam iklan tidak mahu menyewakan rumah kepada kaum India.
“Adakah undang-undang Lim Guan Eng akan menangani isu-isu ini? Bentuk diskriminasi sistemik seperti ini memberi kesan yang jauh lebih besar kepada kehidupan rakyat Malaysia berbanding cercaan perkauman semata-mata.
“Adakah akta anti-diskriminasi kaum yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng akan menangani amalan diskriminasi ini atau ia hanya akan terhad kepada jenayah berkaitan ucapan perkauman?” soal bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam itu.
Guan Eng sebelum ini mencadangkan agar akta anti-diskriminasi kaum digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap ekstremis dan rasis.
Namun Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang memberitahu, tidak ada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti akta anti diskriminasi kaum pada ketika ini, sebaliknya memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.-MalaysiaGazette