PUTRAJAYA – Industri perkayuan kini muncul penyumbang penting kepada ekonomi negara apabila nilai eksport produk tersebut mencecah RM22.9 bilion pada tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding 2023, sekaligus menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi.
Kedudukan itu selepas industri minyak sawit dengan nilai RM114.4 bilion dan getah sebanyak RM33.7 bilion.
Namun kata beliau, jumlah penyertaan Bumiputera secara keseluruhan dalam industri perkayuan masih berada di tahap yang rendah.
“Walaupun terdapat peningkatan berbanding dengan tahun 2023, usahawan Bumiputera masih lagi menyumbang kurang daripada satu peratus iaitu RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu.
“Mereka (Bumiputera) ini banyak mikro dan saya beritahu kalau hendak maju dalam industri ini dia mesti memerlukan ekosistem yang boleh menguatkan perniagaan mereka ini.
“Contohnya banyak benda mereka boleh buat tetapi tidak ada rantaian bekalan baik dan kena kerjasama syarikat bukan Bumiputra yang berjaya dalam negara kita.
“Banyak rekaan idea datang dari syarikat Bumiputera tidak boleh direalisasikan kalau tak ada rantaian bekalan di mana dapat memberi manfaat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Yang penting kerjasama erat jalinan ekosistem jadi mantap dan menyebabkan kedua pihak dapat maju tingkatkan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Simposium Pemerkasaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Pelan Hala Tuju Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dalam Industri Perkayuan yang dihasilkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi berkaitan yang dianjurkan pada bulan Oktober lalu.
Pelan hala tuju itu merangkumi cabaran serta hala tuju masa depan industri perkayuan Bumiputera.
Mengulas lanjut, Johari menasihati usahawan Bumiputera agar terus bersifat kreatif dan inovatif serta menjalankan usahasama dalam mencari peluang-peluang yang ada, sama ada di dalam atau luar negara.
Kata beliau, golongan itu perlu memerdekakan perniagaan kerana potensi perniagaan di sektor swasta tiada hadnya.
“Saya percaya bahawa pemerkasaan Bumiputera dalam industri perkayuan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan usahawan sendiri.
“Saya menyeru agar lebih banyak syarikat Bumiputera tampil ke hadapan dan merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Johari memberitahu, kementerian melalui agensi perkayuan iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan.
Ujar beliau, ia melalui teras dasar dan strategi yang digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) (2021-2030) dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) (2021-2025).
Katanya, DAKN telah menggariskan beberapa strategi utama untuk memperkasa penyertaan Bumiputera seperti memupuk kerjasama antara syarikat-syarikat perkayuan bagi memastikan usahawan Bumiputera mendapat pensijilan kemampanan.
Ia turut mempromosikan kemahiran budaya tempatan yang lebih tinggi seperti pertukangan, ukiran kayu dan reka bentuk tempatan bagi usahawan artisan.
“DAKN menyasarkan peningkatan 71 peratus penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan iaitu sebanyak 600 syarikat Bumiputera pada tahun 2030 di peringkat pertengahan dan hiliran.
“Saya gembira kerana sasaran ini telah dicapai dengan bilangan usahawan Bumiputera yang berjumlah 830 syarikat setakat November lalu.
“Susulan itu, fokus harus diberikan untuk meningkatkan skala dan daya saing syarikatsyarikat ini untuk memastikan penyertaan yang lebih bermakna dalam pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette
