PUTRAJAYA – Seorang pengawai kanan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan beliau dinaikkan pangkat.
Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Fikri Ab Rahim berkata, kenaikan pangkat diberikan kepadanya semasa suruhanjaya itu diterajui Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Fikri yang kini menjawat jawatan Pengawai Kanan Penyiasatan Tatakelola menjawat jawatan Ketua Cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada 2009 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sektor AMLA.
Beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian AMLA dan Pelucutan Hak Harta pada 2016 dan gred perkhidmatannya terkini ialah Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C yang mana beliau dinaikkan pangkat pada 2017.
Saksi kelapan prosiding bela diri Najib dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, dakwaan Najib terlibat dalam kenaikan pangkat beliau adalah tidak benar.
“Yang naikkan jawatan pangkat saya adalah SPRM dan Pesuruhjaya. Saya tidak nampak langsung apa kaitannya dengan Perdana Menteri ketika itu,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.
Fikri juga menafikan apabila disoal balas oleh pendakwaan bahawa kenaikan pangkatnya adalah kerana penglibatan beliau dalam siasatan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion sejak 2015.
Beliau bersama lima pegawai kanan SPRM termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam; Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir dan pegawai perakam SPRM, Mohd Hafaz Nazar serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) telah ke Arab Saudi bagi menjalankan siasatan.
Mereka telah menemuramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud antara 27 hingga 29 November 2015 yang dikatakan menandatangani surat derma Arab kepada Najib.
Najib sedang membela diri dalam perbicaraan membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan bersambung pada 20 Februari depan. -MalaysiaGazette