KULAI – Seorang pemuda maut selepas melanggar sebuah lori yang masuk ke lorong kecemasan akibat tayar pecah di Kilometer 24.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan berkenaan berlaku pada pukul 7.10 petang melibatkan motosikal Yamaha ditunggang mangsa dengan lori jenis Hino.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, memasuki lorong kecemasan akibat tayar hadapan sebelah kanannya pecah.
“Pada masa sama, mangsa yang berusia 30 tahun datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori ujarnya, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Mohamad Firdaus Mustaffa 011-26081008 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette