KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya merampas dadah bernilai RM76.42 juta pada tahun lepas, meningkat hampir 25 kali ganda berbanding RM3.1 juta pada 2023.
Ketua Polis Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, kadar tangkapan juga meningkat daripada 10,327 orang pada 2023, kepada 11,893 orang tahun lepas.
Beliau berkata, ia hasil aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif dan penubuhan pasukan petugas khas untuk membanteras aktiviti penagihan.
“Selain itu kita juga berjaya menahan 56 pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)1985 pada 2024.
“Sebahagian besar rampasan melibatkan dadah jenis syabu dan pil yaba yang mudah diperoleh dengan harga murah berbanding dadah jenis lain,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata, 1,330 kes jenayah komersial dengan nilai kerugian berjumlah RM42.06 juta direkodkan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan 7.51 peratus berbanding 1,237 kes dengan nilai kerugian RM33.76 juta pada 2023.
“Jumlah tangkapan bagi kes jenayah komersial juga meningkat kepada 742 orang pada 2024 berbanding 710 orang pada 2023,” katanya. – Bernama