KUALA LUMPUR – Pelantikan tiga syarikat baharu untuk menyediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dibuat melalui proses lantikan secara terbuka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya membuat lantikan secara terbuka bagi memastikan fungsi syarikat tersebut tidak diragui.
“Kalau saya nak sorok-sorok, tidak payah saya umum nama syarikat ini. Yang penting kita nak buka pasaran pemeriksaan kenderaan ini lebih kompeten dan berdaya saing.
“Lebih banyak pilihan kepada pengguna, termasuk pusat pemeriksaan di Jerantut yang akan memudahkan rakyat supaya tidak pergi jauh,” katanya menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu mengenai kriteria yang membolehkan ketiga-tiga syarikat baharu dipilih biarpun tidak mempunyai pengalaman.
Sementara itu, Anthony berkata, ketiga-tiga syarikat tersebut adalah milik Bumiputera dan seharusnya diberikan keyakinan untuk melakukan projek berkenaan.
“Jadi kita kena ada keyakinan dengan syarikat-syarikat ini dan yang penting pemeriksa kenderaan itu mesti bertauliah. Apabila mereka siapkan semua kriteria, kelengkapan dan kemudahan perlu ada pemeriksaan setiap lorong itu mesti dilantik oleh pemeriksaan kenderaan yang bertauliah.
“Pekerja mesti ambil kursus dahulu di JPJ, penilaian juga oleh JPJ baru boleh menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan syarikat Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd diberikan projek melaksanakan PPKM.
Jelas Anthony, langkah itu bagi menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). – MalaysiaGazette