KUALA LUMPUR – Jutaan umat Islam khususnya golongan “tabligh” menyertai perhimpunan Bishwa Ijtema di tepi Sungai Turag, Dhaka, Bangladesh selama tiga hari, bermula 14 hingga 16 Februari lalu.
Bishwa Ijtema yang bermaksud “jemaah dunia” dianggap sebagai demonstrasi perpaduan, kasih sayang dan hormat-menghormati antara umat Islam.
Perhimpunan yang melibatkan penglibatan 150 negara itu dianjurkan setiap tahun bersifat perayaan bukan politik dan berkonsepkan kedamaian.
Acara tahunan ini berjaya menarik jutaan peserta dari pelbagai negara untuk berdoa dan mendalami ilmu agama.
Perhimpunan terbesar dalam budaya Benggali turut disertai pemimpin dari Malaysia termasuk Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail yang merasai sendiri acara Bishwa Ijtema.
Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam sempat meluangkan masa untuk mendekati dan menyantuni para peserta yang menyertai Bishwa Ijtema sepanjang tiga hari itu.

Pengalaman itu sukar diperolehi mana-mana tempat, apatah lagi dengan kepelbagaian budaya, makanan tradisi hingga kepada beribadah secara berjemaah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu sendiri turut merasai pengalaman berkhemah bersama jemaah lain di atas sebidang tanah seluas 160 hektar dekat Sungai Turag, selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Pembukaan Bishwa Ijtema dikenali dengan ‘Ambayan’ atau khutbah umum, manakala acara penutup pada hari ketiga dengan ‘Akheri Munajat’ yang bererti doa penutup. – MalaysiaGazette