Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli (empat kanan) menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari (empat kiri) ketika hadir pada Penyerahan memorandum kepada PM oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di jalan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 FEBUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) hari ini mengemukakan tiga tuntutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh soal reformasi institusi dan legislatif dalam membanteras isu rasuah di negara ini.

Setiausaha SRBR, Zaim Zulkifli berkata, ketiga-tiga tuntutan itu ubat terbaik untuk merawat barah rasuah dalam sistem politik Malaysia dan ia perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Zaim berkata, antara tuntutan itu ialah menyegerakan pemisahan pejabat Peguam Negara (AGC) daripada pejabat Pendakwa Raya (OPP) serta memisahkan OPP daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Pendakwa raya tidak boleh dipisahkan daripada AGC, kes-kes rasuah berprofil tinggi melibatkan ahli politik, badan kerajaan dan menteri Kabinet boleh dimanipulasi parti-parti politik memerintah kerajaan demi kepentingan sendiri.

“Antara isu-isu berbangkit termasuklah melepaskan ahli-ahli politik tertentu daripada kes mereka demi kepentingan politik, menghukum atau mengugut ahli politik parti lawan dengan tindakan perundangan merugikan kepentingan politik mereka.

“Ada sesetengah menteri Kabinet tidak disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun berbau korupsi, maka isu ini mencemarkan pentadbiran negara,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli (tengah) bercakap kepada media ketika hadir pada Penyerahan memorandum kepada PM oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di jalan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 FEBUARI 2025.

Terdahulu Zaim menyerahkan memorandum tuntutan PMX itu kepada 16 Ahli Parlimen Kerajaan yang diwakili Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Jelas Zaim, pemisahan tugas dan kuasa itu boleh meningkatkan integriti dan ketelusan Kerajaan Madani serta menunjukkan kesungguhan mereka untuk melaksanakan mandat reformasi institusi.

“Pemisahan ini melalui pindaan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah akan menjamin kebebasan pendakwa raya untuk bertindak demi kepentingan rakyat dan tanpa pengaruh eksekutif.

Selain itu, kumpulan mahasiwa juga mendesak Perdana Menteri agar menjadikan SPRM sebuah badan bebas daripada pengaruh eksekutif.

“Pembaharuan itu selaras cadangan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti-Rasuah termasuk menyemak semula Akta SPRM dan Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan keberkesanan SPRM.

“Memberdayakan SPRM melalui autonomi institusi yang memberikan SPRM kuasa untuk mengawal selia isu rasuah dan mengenakan tindakan dan melaksanakan reformasi dalaman bagi memperkukuh integriti SPRM,” katanya.

Menurut Zaim, cadangan mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara telus dan bebas campur tangan eksekutif perlu dilakukan.

“Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 turut mengandungi strategi jangka panjang agar meneliti semula persyaratan dalam pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Manakala tuntutan ketiga pula ialah kerajaan perlu memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA).

“Pengenalan PFA ini melibatkan dua elemen iaitu kedudukan PFA berdiri dengan sendirinya untuk mengawal selia politik wang dan kedua, peranan PFA untuk mengawal selia kewangan parti-parti politik.

“Akta ini amat penting untuk Malaysia bagi mengelakkan skandal 1MDB dan SRC International kedua berlaku dalam wilayah politik negara.

“Reformasi ini perlu demi menjelaskan kerisauan mendalam yang berbangkit akibat ketiadaan PFA seperti isu ‘beli undi’ melalui pendanaan tertutup yang jelas menidakkan pelaksanaan pilihan raya yang adil dan bersih,” katanya.

Zaim turut mengingatkan Perdana Menteri agar tidak sia-siakan kalimat Reformasi dan Anwar diangkat rakyat manakala parti derita dengan harapan Malaysia boleh diubah dan diselamatkan daripada rasuah.

“Kerajaan Madani tidaklah kami tuduh sebagai korup dan terlibat dalam rasuah. “

“Hakikatnya, keengganan Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh membanteras isu akar rasuah sama saja dengan kedudukan mereka bekerjasama dengan para perasuah.

“Ini kerana keengganan itu menjadi simbol membenarkan rasuah membarah di Malaysia,” katanya.

Katanya, tiada sesiapa akan melawan Perdana Menteri dan kerajaan jika ketiga-tiga reformasi institusi ini dijalankan.

“Tiada siapa akan membantah atau mencabar, maka jalankantah amanah untuk bertindak.

“Amaran kami pun mudah. Kekal degil dan pekak, maka kami akan turun ke jalanan lagi.

“Lebih ramai, lebih marak dan lebih sakti. Jika Kerajaan Madani dilihat seperti telah dijinakkan oleh rasuah, tidak hairan kalau suatu hari nanti ia tumbang seperti Najib kerana 1MDB,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast