SHAH ALAM – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini menjadi sekolah pertama bagi program penternakan ikan tilapia berasaskan teknologi bioflok yang direka khusus untuk pelajar neurodiversiti.
Ia di bawah Program Aquaculture Aspire anjuran Agrobank.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program berkenaan merupakan langkah tepat pada masa pertanian kini membangun ke arah lebih berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Jelas beliau, ia mendidik anak-anak terutama dalam kalangan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tentang teknologi akuakultur.
“Kita semua tahu, negara kita sedang menuju ke arah pembangunan pertanian moden. Bukan lagi pertaniah cara lama, cangkuh tanahm tunggu hujan.
“Sekarang kita ada teknologi, kita ada inovasi… Kita bukan sekadar ajar mereka bela ikan tetapi ajar teknologi bioflok iaitu teknologi moden yang tingkatkan hasil penternakan ikan tanpa perlu tukar air selalu,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika Majlis Penyampaian Bantuan Wang Persekolahan Agrobank 2025 dan Pelepasan Anak Ikan Talapia Aquaculture Aspire di sini hari ini.
Menurut beliau, sektor akuakultur dalam negara besar apabila pengeluaran ikan menerusinya pada tahun 2023 direkodkan mencecah 482, 680 tan metrik.
“Ini bukan angka kecil. Kalau kita bagi pendedahan awal kepada anak-anak kita, mereka boleh jadi pelapis dalam industri ini.
“Dengan pendedahan awal kepada bidang ini anak-anak kita akan lebih berminat. Jangan fikir akuakultur ini kerja kampung, tidak moden, Sekarang akuakultur sudah berteknologi tinggi, guna data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan banyak lagi untuk masa depan pertanian negara,” katanya lagi.
Mohamad Sabu berkata, bidang akuakultur tidak hanya terhadap kepada peliharaan ikan sahaja sebaliknya ia melibatkan pelbagai cabang termasuklah pemprosesan makanan laut, bioteknologi akuatik, inovasi dan teknologi berkaitannya.
Mengulas lanjut, program itu bukan sahaja memberi ilmu tetapi mampu menjana ekonomi.
“Sekolah boleh jual hasil ikan kepada masyarakat setempat, wang yang didapat boleh digunakan untuk aktiviti pelajar,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Agrobank menyasarkan 10 buah sekolah PPKI seluruh semenanjung untuk melaksanakan program ternakan talapia.

Sementara itu, pada majlis yang sama, seramai 200 pelajar di sekitar Parlimen Kota Raja menerima bantuan RM150 beserta kelengkapan persekolahan daripada Agrobank.- MalaysiaGazette