KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memuktamadkan video baharu bagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu dibuat selepas video promosi sebelum ini mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.
“Petang ini saya akan lihat video akhir sebab baru dimuktamadkan, jangan politikkan.
“Video sebelum ini cuma untuk bangunan UNESCO dikeluarkan, jangan salah faham,” katanya dalam Sesi Soalan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
King Sing berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).
Bulan lalu, video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
King Sing sebelum ini berkata, pihaknya mengakui tidak berpuas hati dengan video promosi berkenaan.
Beliau turut menegaskan, tujuan utama video montaj ringkas pelancaran Kempen TMM 2026 adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan termasuk perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa depan, bukannya mengenai agama atau perkauman.
Berikutan itu, King Sing melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta bahan perpecahan. – MalaysiaGazette