MELAKA – Seorang bekas pengurus jualan bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Air Keroh, di sini, hari ini atas 58 pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 sebagai habuan membantu firma guaman berkaitan urusan pinjaman perumahan, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM600,903 sebagai dorongan dan upah untuk membantu dua firma guaman.
Ia adalah dengan memberikan rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) oleh pegawai eksekutif bank yang berkhidmat di bawah seliaan tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berbeza dalam daerah Melaka Tengah antara Jun 2017 hingga September 2022.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah dan nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM, Noor Julieana Yahaya dan Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM210,000 bagi kesemua 58 pertuduhan selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM.
Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi bagaimanapun merayu jaminan sebanyak RM60,000 kerana anak guamnya sudah tidak lagi bekerja di bank berkenaan sejak 14 bulan lalu.
Tertuduh juga katanya, perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta tiga anak masih kecil berusia 10 tahun, lima tahun dan enam bulan selain menjaga ibu bapa sakit.
Selepas mendengar hujan kedua-dua pihak, Hakim Elasabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM87,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette