JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor mengenal pasti 14 lokasi panas kerap berlaku kebakaran terbuka sepanjang tempoh peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dilaporkan sudah bermula.
Pengarah JBPM Negeri Johor, Siti Rohani Nadir berkata, pihaknya akan memberi tumpuan di kawasan terbabit apabila peralihan MTL dijangka berlaku pada Mac ini.
Jelasnya, tanda peralihan sudah boleh diihat apabila berlaku kebakaran terbuka sejak awal tahun ini dan pihaknya sudah mula bersiap siaga berdepan tempoh peralihan itu.
Ini katanya, termasuk mempersiapkan pengoperasian, keanggotaan dan aset.
“Mengenai peralihan MTL, sebenarnya sehingga Mac, tetapi kita pun nampak sudah ada peralihan sedikit daripada hujan, kini sudah berlaku kebakaran hutan dan di kawasan hotspot.
“Daripada segi persiapan keanggotaan, memang kita siap siaga 24 jam membabitkan semua pegawai kira-kira 1,400 orang dan peralatan serta kelengkapan pun kita ada dapat bekalan pam mudah alih yang boleh digunakan ketika kebakaran.
“Kita juga ada wujudkan ‘red team’ iaitu pasukan bantuan yang akan digerakkan jika berlakunya kebakaran pada skala yang lebih besar termasuk mendapatkan bantuan unit helikopter di Putrajaya untuk mempercepatkan operasi pemadaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Johor Bulan Februari 2025 di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini, hari ini.
Siti Rohani berkata, antara kawasan panas yang dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka akibat tanah gambut adalah di Kampung Ibrahim Majid, Kluang; Ladang Ibzi dan Ladang Sebana-Punggai, Kota Tinggi serta Jalan Parit Makasar dan Sanglang, Pontian.
Selain itu katanya, terdapat sembilan lokasi panas dikesan di Muar.
“Kekerapan kawasan ini terbakar sejak 2020 hingga 2023 adalah antara satu hingga empat kali dengan tempoh operasi pemadaman dilakukan mengambil masa antara sehari hingga 12 hari,” jelasnya.
Beliau berkata, dari awal tahun ini, pihaknya sudah merekodkan lapan kes kebakaran gambut membabitkan kebakaran ladang dan kebun kecil serta 335 kes kebakaran bukan gambut membabitkan kawasan belukar, lalang rumput, ladang, kebun kecil, sampah-sarap dan industri.
Pada masa sama, Siti Rohani berkata, pihaknya akan memperbaiki tempoh bertindak (response time) yang kini masih dilihat pada tahap rendah.
“Pada tahun lalu, kita berjaya mencatatkan peningkatan pencapaian tempoh bertindak di bawah 10 minit sebanyak 58.79 peratus, berbanding 57.56 peratus pada tahun 2023,” katanya.
Namun katanya , pencapaian itu masih perlu dipertingkatkan lagi dan masih belum mencapai sasaran 63 peratus yang ditetapkan oleh jabatan.
“Pencapaian National Average Response Time (NART) bagi tahun 2024 pula, adalah 10.18 minit, melebihi had masa yang disasarkan iaitu 9.30 minit.
“Kita perlu lihat beberapa faktor seperti kecemasan berlaku pada waktu puncak, kesesakan lalu lintas, halangan lain seperti bonggol, lampu isyarat atau jalan sempit, ini antara faktor yang membuatkan jentera gagal tiba di lokasi lebih cepat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dengan adanya 29 Pasukan Bomba Sukarela dengan 600 anggota, akan dapat membantu mempercepatkan bantuan awal diberikan kepada kes kecemasan.
“Kita akan mantapkan lagi Pasukan Bomba Sukarela. Kita pun sudah salurkan bantuan kelengkapan, jadi bagi lokasi kejadian di luar jangkauan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), kita akan kemaskan lagi tempoh bertindak kita dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela,” katanya.- MalaysiaGazette