JOHOR BAHRU – “Saya dengar suara pakcik Nor mengerang kesakitan, saya nampak badan dia sudah terbakar, saya tidak sempat tarik dia, saya sempat tarik keluar cucu dia, masa tarik Allah sahaja yang tahu sampai tersiat kulit dia,” ujar Muhamad Haniff Tumiran, 29.
Dia yang merupakan saksi pertama tiba di lokasi kejadian sebuah rumah terbakar di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, mengakui masih terngiang-ngiang suara mangsa mengerang kesakitan walaupun sudah lebih lima bulan kejadian berkenaan berlaku.
Kejadian yang mengorbankan nyawa sepasang suami isteri bersama-sama seorang cucu itu yang berlaku pukul 2.20 pagi, 9 Ogos tahun lalu.
Ketika itu Haniff berada di rumahnya.
“Semasa kejadian saya sedang memotong buah-buahan di bahagian dapur sebelum ternampak cahaya terang datang dari bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan.
“Saya pelik sebab selalu gelap sahaja, jadi bila nampak sekolah itu terang, saya terus keluar rumah untuk lihat, rupanya kebakaran berlaku pada rumah kayu di sebelah sekolah, rumah pakcik Nor.
“Ketika itu, kebakaran sudah hampir 90 peratus. Saya kemudian terus ke bahagian belakang rumah dan mendapati ada tiga penghuni terperangkap di bahagian dapur.
“Saya kemudian cuba membantu dan hanya sempat selamatkan cucu pakcik Nor,” katanya ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor Bulan Februari 2025 di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini, hari ini.
Keberanian Haniff cuba menyelamatkan mangsa kebakaran itu mendapat perhatian JBPM Negeri Johor untuk menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah JBPM Negeri Johor, Siti Rohani Nadir, pada majlis berkenaan.
Tahun lalu, media melaporkan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Hamid, 76, meninggal dunia di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 pagi itu, manakala cucu pasangan itu, Noradriana Nor Hisyam, 11, menghembus nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, polis mengklasifikasikan kematian tiga sekeluarga itu sebagai kes bunuh selepas hasil laporan bedah siasat ketiga-tiga mangsa terdapat unsur jenayah.
Majlis sama turut menyaksikan seorang jurutera projek perumahan, Iqxbal Shafiq Dzulkifeli, 32, menerima sijil penghargaan kerana keberaniannya terjun ke dalam kolam memancing ikan bagi menyelamatkan seorang penuntut universiti berusia 23 tahun yang lemas.
Menurutnya, ketika kejadian pada 3 Jun tahun lalu, dia sedang rehat di kawasan tapak perkhemahan Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, Felda Chemplak, Labis, Segamat.
“Saya dengar suara kecoh dan terus ke tempat kejadian sebelum mendapati ada seorang lelaki lemas, saya terus terjun dan bawa naik mangsa.
“Saya melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara tunggu bantuan tiba, namun terkilan tidak dapat menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya yang juga seorang jurulatih menyelam.
Walaupun tidak dapat menyelamatkan nyawa mangsa, namun Iqxbal Shafiq bersyukur sekurang-kurangnya dapat menghulurkan bantuan dalam kes kecemasan seperti itu.- MalaysiaGazette