KUALA LUMPUR – Kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF) melibatkan pinjaman perniagaan kepada usahawan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) amat tinggi iaitu mencecah 49.6 peratus.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, situasi tersebut berlaku disebabkan wujud sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan peminjam yang meletakkan pinjaman MARA sebagai senarai keutamaan terakhir.
Ini kerana, kata beliau, golongan peminjam terbabit sebelum ini berasakan Mara tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka.
Bahkan, ujarnya, terdapat peminjam mengambil kesempatan menggunakan hubungan dengan pihak berpengaruh untuk mendapatkan surat sokongan bagi menangguhkan pembayaran.
“Maaf, saya tegaskan di sini, Mara tidak akan sesekali berkompromi lagi.
“Sebarang surat walau kabel setinggi mana sekalipun tidak akan dilayani.
“Bahkan tindakan undang-undang akan lebih agresif dan tegas diambil untuk menjejaki dan mendapatkan kembali setiap sen yang telah disalurkan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Asyraf Wajdi sekali lagi mengingatkan bahawa wang pinjaman disediakan Mara adalah wang rakyat yang diamanahkan kepada agensi tersebut.
Tegas beliau, tindakan tidak membayar pinjaman akan menafikan hak orang lain untuk mendapatkan bantuan pembiayaan seterusnya.
“Ingatlah kalaupun mahkamah dunia terlepas, mahkamah Allah SWT lebih berat.
“Nabi Junjungan S.A.W. mengingatkan berkenaan bahana hutang tidak berbayar hinggakan mati syahid yang dosanya semua terhapus kecuali hutang yang masih belum dilangsaikan.
“Bukan itu sahaja Nabi SAW dalam banyak peristiwa enggan menyembahyangkan jenazah yg masih berhutang. Malah dalam satu Hadis lain roh org Mukmin akan tergantung hanya kerana hutang tak berbayar,” katanya. – MalaysiaGazette