KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen sama ada daripada pembangkang mahu pun kerajaan tidak dibenarkan mengemukakan sebarang soalan mengenai keterangan Menteri semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, semua pertanyaan itu boleh diajukan kepada menteri semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja pada Khamis.
“Sebenarnya saya tidak membenarkan seberang penjelasan mengenai keterangan menteri disebabkan beberapa ahli Yang Berhormat telah membahas isu ini semasa usul Menjunjung Kasih di atas Titah Diraja.
“Yang Berhormat Menteri akan menjawab esok (20 Februari). Jadi Yang Berhormat Menteri, masa penggulungan, boleh menjawab sekali harung apa juga yang dibangkitkan esok,” katanya selepas tamat sesi penjelasan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari melarang ahli Parlimen berbuat demikian kerana masa persidangan Dewan Rakyat terhad dan masih banyak kementerian menunggu giliran dalam sesi perbahasan tersebut.
“Sebab kita tidak cukup masa, jadi sesiapa yang ada soalan, simpan soalan ini kerana esok ialah waktu menteri menggulung dan bolehlah dikemukakan.
“Ini kerana kita ada kementerian yang sedang menunggu dan kita kesuntukan masa. Kalau saya buka (tanya soalan), kita akan berhenti 12 tengah malam.
“Sebab itu saya tak benarkan lagi apa-apa berhubung dengan penerangan menteri tadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette