Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang mengkaji penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dan rumah modular dalam Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, bagaimanapun aspek rekaan, bentuk rumah dan struktur tanah perlu diambil kira bagi memastikan ia bersesuaian.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memikirkan cadangan ini namun ia masih di peringkat kajian memandangkan kebanyakan rumah PPRS adalah di kawasan luar bandar yang mana struktur tanahnya perlu diambil kira,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rubiah berkata demikian menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu sama ada KKDW berhasrat menggunakan IBS dan rumah modular dalam pembangunan PPRS bagi mengurangkan waktu menunggu daripada golongan sasar.

Sementara itu, Rubiah berkata, sepanjang tahun ini sejumlah RM464.45 juta diperuntukkan bagi pembinaan membabitkan 2,703 PPRS baharu dan 10,281 bagi membaikpulih kediaman.

Beliau berkata, sejak tahun lalu, kerajaan menaikkan kadar bantuan bagi PPRS iaitu daripada RM66,000 kepada RM79,000 bagi pembinaan baharu di seluruh Malaysia.

“Sementara bagi pembinaan PPRS baharu di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ia membabitkan kenaikan bantuan daripada RM79,000 kepada RM85,000.

“Bagi menambahbaik PPRS di seluruh Malaysia, ia ditetapkan kepada maksimum RM20,000 daripada RM15,000 hingga RM17,000 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, PPRS yang dijenamakan semula daripada Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada Ogos lalu, turut meningkatkan keluasan saiz rumah daripada 660 kaki persegi kepada 680 persegi.

“Selain itu, PPRS juga membabitkan pelan baharu yang berkonsepkan mesra syariah dan susun atur baharu yang membolehkan rumah dibina secara melintang atau menegak bagi memberi fleksibiliti dan suasana harmoni dalam aspek kejiranan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here