Fadhlina Sidek

NILAI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius dakwaan kemudahan asrama di sekolah tertentu tidak diselenggara dengan baik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau akan memastikan perkara tersebut dipantau untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, setiap sekolah sepatutnya mempunyai peruntukan khusus untuk penyelenggaran kemudahan.

“Kita ambil maklum perkara tersebut dan kita akan lihat.

“Setiap sekolah akan ada penyelenggaraan jadi kita akan memastikan bahawa pembaikan tandas dan semuanya dibaiki melalui peruntukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi Madani Kementerian Pendidikan Tahun 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Terdahulu, Fadhlina diminta mengulas mengenai dakwaan di media sosial mengenai kemudahan di asrama khususnya tandas tidak diselenggara sehingga mencetus ketidakpuasan hati dalam kalangan ibu bapa.

Sementara itu, Fadhlina meminta semua pihak tidak memanjang isu pengoperasian sekolah pada bulan Ramadan.

Ujarnya, perkara berkenaan telah dijelaskannya demi mengelakkan salah faham semua pihak.

“Bagi saya kita boleh hentikan perkara tersebut kerana ia telah berlangsung sejak begitu lama, bukan perkara baharu,” katanya.

Sebelum itu kenyataan Fadhlina dalam videonya mengenai waktu tamat sesi petang persekolahan di bulan Ramadan dikritik beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Putrajaya. Dr Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari.

KPM menerusi kenyataan menjelaskan, sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan tamat seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang Ramadan.

Manakala, bagi sesi petang persekolahan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tamat jam 5 petang manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here