TOKYO – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana cuba membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dengan menggunakan bom paip pada 2023, lapor media tempatan.
Kishida tidak cedera dalam serangan yang dilakukan semasa kempen pilihan raya.
Penyerang Ryuji Kimura, 25, ditahan di tempat kejadian.
Insiden di barat Jepun berlaku kurang setahun selepas bekas perdana menteri Shinzo Abe dibunuh pada Julai 2022 semasa berkempen.
Mahkamah Daerah Wakayama menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Kimura kerana cubaan membunuh, lapor Jiji Press.
Hakim memberitahu, Kimura telah “menjalankan perbuatan itu di tempat ucapan awam semasa kempen pilihan raya, yang merupakan asas demokrasi”.
Pendakwa raya telah memohon hukuman 15 tahun manakala pasukan pembelaan Kimura memohon hukumn diringankan kepada tiga tahun kerana tertuduh menafikan ada niat untuk membunuh Kishida. – Agensi